Thursday, October 8, 2009

ROS: Pakatan Rakyat boleh bergabung

Pakatan pembangkang boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak terpakai bagi parti politik, kata Ketua Pengarahnya Datuk Md Alias Kalil.
.
Katanya, syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.
.
"Saya nak jelaskan di sini, syarat itu tak terpakai untuk parti politik sebab mereka sudah bertaraf nasional, tetapi kalau pertubuhan tidak berstatus kebangsaan mahu menjadi pertubuhan kebangsaan mereka perlu ada tujuh wakil dari negeri-negeri," katanya ketika dihubungi Bernama.
.
Md Alias diminta mengulas laporan media hari ini yang memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa pakatan pembangkang boleh membentuk satu parti jika mereka benar-benar mahu berbuat demikian walaupun hanya ada tiga anggota.
.
Kenyataan Wan Ahmad itu rentetan dakwaan bahawa Pakatan tidak boleh berbuat demikian kerana tidak memenuhi syarat iaitu perlu ada tujuh anggota sebelum boleh didaftarkan sebagai sebuah gabungan. Md Alias juga menolak dakwaan pemimpin parti pembangkang bahawa syarat-syarat pendaftaran yang ada menyukarkan mereka untuk merasmikan pakatan mereka.
.
"Syarat-syaratnya biasa sahaja seperti mesti ada perlembagaan parti seperti BN dan ini mereka kena usahakanlah. Tapi tak adalah menyusahkan seperti yang didakwa mereka.
.
"Tapi bagi saya soal ini tidak timbul kerana sehingga kini kami tidak menerima permohonan daripada mereka untuk membentuk satu gabungan," katanya. Selasa lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyarankan supaya pakatan pembangkang mendaftarkan gabungan itu dengan ROS bagi membolehkan mereka meletakkan bendera parti masing-masing sebagai tujuan kempen semasa pilihan raya kecil diadakan.
.
Ini kerana berdasarkan peraturan SPR hanya parti politik yang bertanding sahaja boleh berbuat demikian.Bagaimanapun kenyataan Abdul Aziz mencetuskan kemarahan beberapa pihak yang mendakwa pakatan pembangkang tidak boleh mendaftar dengan ROS kerana tidak memenuhi syarat tujuh anggota. Pakatan pembangkang dianggotai PKR, DAP dan PAS. BERNAMA
.
Komen Satira Nasional : Inilah masanya yang sesuai pihak Pakatan Rakyat mengambil serius memikirkan cara bagaimana untuk daftarkan Pakatan Rakyat sebagai satu entiti berdaftar.
.
Dalam proses persediaan mengambil alih kerajaan pusat dalam pilihanraya umum nanti, perkara ini akan menjadi isu utama di samping isu-isu semasa yang lain. Ambil langkah yang bijak sekarang sementara sokongan masih lagi kuat daripada rakyat.

No comments:

Post a Comment