Saturday, October 3, 2009

Pemimpin beriman pertahan syiar Islam

PEMIKIR Islam tersohor abad ke-18 Hijrah, Ibnu Khaldun, menyatakan sebuah masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada wujudnya seorang pemimpin atau ketua sama ada digelar khalifah, sultan, raja, imam dan sebagainya.
.
Firman Allah SWT: “Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh di kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa.”
.
Menurut kitab susunan Imam Umar bin Muhammad, yang meninggal dunia pada 531 Hijrah, orang Islam mestilah melantik seorang raja yang dapat menjalankan hukum Islam, menguatkan pertahanan, menyelesaikan perbalahan antara umat Islam dan sebagainya.
.
Satu riwayat menyatakan Rasulullah SAW sendiri pernah menyarankan kepada orang yang hendak bermusafir: “Sekiranya kamu ada tiga orang yang ingin bermusafir maka hendaklah kamu melantik salah seorang menjadi ketua,” (Riwayat Abu Daud).
.
Raja atau ketua sebuah negeri bertanggungjawab menjaga pentadbiran dan pemerintahan serta menjaga perjalanan agama Islam.Tanpa adanya raja atau ketua yang benar-benar bertanggungjawab akan meletakkan rakyat dan agama dalam suasana yang tidak harmoni.
.
Kerana itu, dalam peristiwa kewafatan Rasulullah SAW, para sahabat terlebih dulu melantik pengganti Baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq sebelum jenazahnya dimakamkan. Islam turut mewajibkan setiap rakyat mengetahui dan memahami kedudukan raja dan memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepadanya.
.
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu,” (An-Nisa' ayat 59).Ia dengan jelas menyeru orang yang beriman supaya mentaati Allah SWT, Rasulullah SAW dan Ulil Amri.
.
Maksud mentaati Ulil Amri ialah patuh kepada individu yang mengetahui urusan kaum muslimin, pemerintah mereka wajib ditaati selama mana ia tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT dan rasulnya. Ada riwayat mengatakan: “Agama Islam tidak akan kuat kecuali dengan jemaah dan jemaah tidak akan berjalan kecuali ada pemimpinnya dan pemimpin tidak akan ada gunanya jika tidak ditaati.”.
.
Tidak dapat dinafikan bahawa negara Islam yang mengekalkan institusi beraja dapat memberi perlindungan kepada peningkatan syiar Islam. Peranan yang dimainkan oleh institusi beraja pada masa lalu hingga kini membolehkan agama Islam terus dipelihara dan dianuti oleh anak cucu mereka dalam kedudukan yang baik. Oleh itu, hubungan mesra dan saling hormat-menghormati antara raja dengan rakyat yang sedia terjalin hendaklah terus dipelihara.
.
Institusi beraja hendaklah dipertahankan supaya syiar Islam terus berkembang dan maruah umat Islam turut terpelihara dengan izin Allah SWT.Maksud surah Ali-Imran ayat 26: “Katakanlah (wahai Muhammad), wahai tuhan yang mempunyai pemerintahan, engkaulah yang memberi pemerintahan kepada sesiapa yang engkau kehendaki.
.
“Dan engkau yang mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memiliki sesiapa yang engkau kehendaki dan engkaulah yang menghina sesiapa yang engkau kehendaki. “Dalam kekuasaan engkaulah saja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya engkau maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.” -Harian metro

No comments:

Post a Comment