Thursday, October 29, 2009

Fokus kepada Nasha dan Dr Hassan

OKT 29 — Agak menarik apa yang berlaku dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam tadi apabila dua perkara ini dilihat berlaku.
.
Pertama, ahli mesyuarat yang paling awal keluar sebaik sahaja mesyuarat selesai adalah Datuk Dr Hasan Ali, AJK yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor. Perkara ini disahkan oleh beberapa saksi kepada The Malaysian Insider.
.
Yang kedua, Nasharudin Mat Isa, timbalan presiden PAS, sebagai pemimpin paling kanan selepas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak ada dalam sidang media yang diadakan selepas mesyuarat khas itu.
.
Ini kerana, semua yang lain hadir di samping Abdul Hadi. Mereka adalah ketiga-tiga naib presiden iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.
.
Turut kelihatan adalah Setiuasaha Agung Datuk Mustafa, Ketua Pemuda Nasrudin Hassan Tantawi dan juga Ketua Penerangan Idris Ahmad.
.
Apakah yang berlaku kepada mereka berdua dalam mesyuarat malam tadi tidak diketahui. Yang pasti, mesyuarat itu telah mengambil keputusan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin Tuan Ibrahim diarahkan agar membuat penyiasatan terhadap PAS Selangor.
.
"Adakah Datuk Hassan akan disiasat," tanya seorang wartawan. Abdul Hadi menjawab, "PAS Selangor akan disiasat."
.
Apa yang hendak disiasat oleh Lembaga Disiplin ini tidak dinyatakan dalam sidang media itu. Namun, gelagat kedua-duanya sangat mencurigakan lebih 50 wartawan dan jurugambar yang memenuhi tingkat 4 bangunan PAS malam tadi.
Dalam pada itu, kecoh dalam blog sekarang tentang pertemuan antara kedua-duanya (Nasharudin dan Hassan) dengan sembilan blogger termasuk yang dikira pro Umno.
.
Antara yang dibincangkan adalah tentang cadangan kerajaan perpaduan dan juga serangan ke atas bekas seorang naib presiden PAS.
.
Menurut satu blog, rakaman perbincangan di rumah Hassan Ali itu akan diserahkan beliau kepada Tuan Ibrahim, sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin PAS.
Sebelum ini, The Malaysian Insider melaporkan, antara punca Nik Aziz melenting adalah kerana karenah Hassan Ali di Selangor dan sikap para pemimpin kanan PAS dalam menanganinya.
.
Kini, masing-masing tertumpu kepada Lembaga Disiplin yang diketuai Tuan Ibrahim. Bilakah sidang pertama mereka akan berjalan, siapa yang akan disiasat dan sebagainya akan menjadi sorotan media. Ramai bimbang kerana Tuan Ibrahim seorang pemimpin yang low profile dan perlahan.
.
Yang pasti, segala masalah dalaman PAS telah dibincangkan secara terbuka malam tadi dan langkah mengadakan seminar khas 7 November ini adalah antara yang terbaik pernah dibuat oleh pimpinan parti itu dalam menentukan hala tuju PAS dengan mantap. -Warga Marhaen

No comments:

Post a Comment