Saturday, September 26, 2009

PAS tiada niat tinggalkan Pakatan: NP

PAS tidak bercadang meninggalkan Pakatan Rakyat seperti dilaporkan hari ini susulan perselisihan terbuka antara pemimpin parti itu dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Selangor.

Naib presidennya Salahuddin Ayub berkata PAS tidak pernah membuat keputusan untuk mengkaji semula kedudukannya dalam gabungan tiga parti pembangkang utama itu di semua peringkat, lapor media rasmi parti Harakahdaily.net.

"Oleh kerana PAS tidak pernah membuat keputusan sedemikian, perkara itu tidak timbul sama sekali dan tidak harus ditimbulkan sama sekali," ahli parlimen itu dipetik berkata hari ini.

"Jika ada masalah yang berlaku, ia adalah perkara biasa. Dalam keluarga dua tiga orang pun ada masalah, apa lagi pakatan yang besar."

Beberapa akhbar hari ini melaporkan kesediaan PAS Selangor menimbangkan kedudukannya dalam kerajaan negeri itu ketika memetik kenyataan setiausaha perhubungannya Mohd Khairuddin Othman semalam.

"Sekiranya ada mana-mana wakil rakyat yang mencadangkan agar PAS mengkaji kedudukannya dalam Pakatan Rakyat, PAS Selangor bersedia mengkaji kenyataan tersebut secara terperinci," katanya.

Beliau mempertahankan pendirian exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Ali, yang juga pesuruhjaya PAS negeri, yang menggesa Selcat mengadakan siasatan tertutup sewaktu mengambil keterangan pegawai kerajaan berhubung pengagihan peruntukan DUN oleh pentadbiran BN dan Pakatan Rakyat sekarang.

Cadangan itu dibantah DAP dan tindakan Dr Hasan mengkritik jawatankuasa khas DUN Selangor itu secara terbuka juga dijadikan isu oleh pemimpin-pemimpin dalam Pakatan.
.
Satira Nasional - Ribut dalam secawan kopi

No comments:

Post a Comment