Tuesday, September 22, 2009

Menunggu usahawan bumiputera terkaya

Sebelum 30 Jun lalu, syarat 30 peratus ekuiti bumiputera masih merupakan taboo atau perkara sensitif yang pantang disentuh oleh mana-mana pihak.

Jika ada pihak yang berani mendesak agar syarat terbabit dimansuhkan, maka sudah barang tentu ia akan dicap sebagai anti-Melayu atau mengkhianati Melayu dan akan dibelasah oleh pemimpin Umno, “wira-wira” Melayu dan media aliran perdana.

Tetapi pada tarikh tersebut, dalam ucap utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Persidangan Invest Malaysia 2009 anjuran Bursa Malaysia Berhad dan Kumpulan CIMB, beliau telah mengumumkan secara rasmi bahawa syarat 30 peratus ekuiti bumiputera akan dimansuhkan berkuatkuasa dengan segera atas dua sebab utama, iaitu:

Pertama, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) merupakan instrumen yang tidak lagi berkesan dalam mencapai matlamat menyusun semula masyarakat Malaysia dan sasaran pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera di peringkat firma secara keseluruhan.

Didedahkan bahawa dalam tempoh sehingga 2006, sungguhpun FIC berjaya mengagihkan sejumlah RM54 bilion ekuiti kepada bumiputera, namun hanya RM2 bilion (tidak sampai 5%) yang masih kekal dalam pemilikan bumiputera.

Selebihnya telahpun dijual untuk mengejar keuntungan segera!

Justeru, pada 1990, ekuiti bumiputera berada pada tahap 19.3 peratus, ia hanya meningkat kepada 19.4 peratus pada 2006 dan tidak berubah sehinggalah ke hari ini.

Nyata sekali FIC sudah gagal dalam fungsinya sebagai instrumen untuk mencapai sasaran pemilikan ekuiti bumiputera seperti yang ditetapkan.

Kedua, garis panduan FIC merupakan rintangan kepada pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, penyusunan semula FIC perlu untuk memangkin pelaburan yang lebih mapan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara terutamanya bila ekonomi negara sedang menghadapi cabaran-cabaran utama berikut:

bullet buttonRizab petroleum menyusut (dijangka pengimport bersih pada tahun 2014).
bullet buttonKebergantungan kepada FDI yang kian menyusut selepas 1997.
bullet buttonTahap pertumbuhan produktiviti yang rendah.
bullet buttonKebergantungan kepada pekerja asing yang tidak mahir.

Demi menghadapi cabaran-cabaran utama tersebut, antara lain, halatuju berikut telah dikemukakan:

bullet buttonMewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur.

bullet buttonMemberi tumpuan untuk mengingkatkan penyertaan bumiputera secara berkesan dalam ekonomi berasaskan pendekatan meritokrasi.

bullet buttonMenggalakkan penglibatan berkesan dan berkekalan usahawan bumiputera dengan menguasai pemilikan dan pengurusan syarikat korporat dalam sektor pertumbuhan dan strategik.

bullet buttonMeningkatkan tenaga kerja bumiputera terutamanya dalam kategori pekerjaan pengurusan dan profesional dalam sektor korporat, dan

bullet buttonMeningkatkan saiz golongan menengah bumiputera.

Untuk mewujudkan persekitaran pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur, selain pemansuhan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera, FIC tidak lagi memproses transaksi hartanah kecuali membabitkan pencairan kepentingan bumiputera atau kerajaan.

Had pembelian harta oleh warga asing dinaikkan secara umum kepada RM500,000, dan had pemegangan saham asing amanah dan broker saham ditingkatkan kepada 70 peratas daripada 49 peratus.

Liberalisasi dalam industri itu akan membenarkan pemilikan 100 peratus saham oleh pemodal asing yang dianggap layak dan profesional dalam menerajui syarikat pengurusan dana yang kukuh untuk beroperasi di Malaysia.

Rasanya pelonggaran had pemegangan saham asing amanah dan broker serta syarikat pengurusan dana kukuh yang beroperasi di Malaysia memerlukan timbangan yang lebih teliti agar ekonomi negara kita tidak dikuasai semula atau dimanipulasi oleh kuasa-kuasa besar antarabangsa, terutamanya memandangkan impak buruk krisis kewangan Amerika Syarikat kepada negara-negara membangun termasuk Malaysia yang sehingga kini masih belum pulih lagi.

Instrumen baru untuk memikul pelaksanaan halatuju baru dalam Model Ekonomi Baru (MEB) tersebut ialah penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang bermula dengan modal awal RM500 juta dan akan ditambah sehingga RM10 bilion.

Menurut perdana menteri, Ekuinas adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan dalam sektor-sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi – pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

Seperti ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Mingguan Malaysia, 5 Julai): “Kerajaan sememangnya berpegang kepada konsep pertumbuhan dan pengagihan dan akan terus memikirkan secara menyeluruh untuk mewujudkan instrumen-instrumen (yang baru) dan menambah baik instrumen yang ada .

“Ini penting untuk memastikan golongan bumiputera tidak dipinggirkan dan diberi sebanyak mungkin bantuan untuk memastikan mereka mampu memajukan diri dan mencapai objektif yang telah dinyatakan dalam DEB sebelum ini.

“Ini kerana 'roh' DEB dan agenda bumiputera itu masih ada. Namun kini kita perlu melakukan agenda ini melalui instrumen-instrumen yang dianggap mesra pasaran.”

Memupuk usahawan besar bumiputera melalui equinas kontrak dan lesen?

Dijelaskan beliau secara lebih perinci: “Kuota bumiputera itu pada sektor strategik di tahap mikro tidak kita hapuskan. Hanya di peringkat makro sahaja. Masih lagi menjadi matlamat kita untuk mencapai satu proportion (nisbah) yang tinggi dan kalau boleh dalam sektor-sektor tertentu lebih dari 30 peratus. Bukan sahaja melalui FIC melalui ekuiti tetapi juga melalui lesen.

“Kalau kita lihat orang-orang kaya di Malaysia dari 10 terkaya ada seorang dua yang menduduki tempat teratas. Mereka menjadi kaya dengan cara bagaimana? Mereka mendapat kontrak dan sebagainya serta dianugerahkan lesen oleh kerajaan.

“Jadi kita mendapat pengajaran bahawa kita harus menggunakan lesen-lesen sebegini untuk memupuk dan melatih mereka menjadi usahawan besar dan berjaya. Mungkin ada yang mendapat lesen dan sebagainya, namun kita harus lebih menumpukan kepada usaha pemberian lesen untuk menjayakan para usahawan bumiputera tidak akan hilang malah akan diperhebatkan!”

Nampaknya Umno dan Barisan Nasional masih belum mengambil iktibar daripada kegagalan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera yang hanya menguntungkan mereka yang mengambil kesempatan untuk memiliki kuota bumiputera tanpa berusaha lalu dijual untuk mencari keuntungan cepat.

Kali ini, kerajaan bersedia pula melalui instrumen-instrumen lama dan baru untuk menganugerahkan lesen-lesen bagi sektor-sektor yang berpotensi pertumbuhan pesat dan strategik dan konsesi-konsesi bernilai tinggi serta kontrak-konrak besar untuk usahawan-usahawan bumiputera pilihan (kroni?) mereka, menurut Nor Mohamed lagi, seperti yang dianugerahkan kepada seorang dua yang menduduki tempat teratas daripada 10 usahawan terkaya di Malaysia.

Jika kuota bumiputera berkadaran tinggi secara mikro tidak akan dihapuskan seperti dijelaskan Nor Mohamed, maka bukankah halatuju baru mengenai pupukan usahawan tulen melalui pendekatan meritokrasi dan pesaingan hanya omong kosong semata-mata?

Kenapa yang dititikberatkan adalah peningkatan saiz golongan menengah bumiputera, dan pupukan segelintir usahawan-usahawan bumiputera terkaya, bukan pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan lapisan bumiputera bawahan dengan bilangan yang terbanyak sekali?

Jelas sekali, apa yang dinamakan agenda bumiputera padahal hanya menguntungkan segelintir kroni Umno yang berada dalam lapisan atasan, ia bertentangan dengan agenda rakyat yang menitik-beratkan kepentingan lapisan bawahan tanpa mengira kaum. -malaysiakini

No comments:

Post a Comment